Khamis, 24 November 2011

Pertukaran Guru

Inilah masa yang sebok mengurus pertukaran guru, sama ada pertukaran antara daerah dalam sesebuah negeri atau pertukaran antara negeri-negeri. Apa pun, yang hendak diturunkan di sini tidak membezakan kedua-duanya itu.
Pelbagai sebab guru meminta pertukaran tempat mengajarnya. Kebanyakannya adalah kerana untuk kesejahteraan tenaga kerja ini: mengikut suami, hendak lebih hampir dengan tempat tinggalnya yang kekal, tanggungjawab terhadap yang berkaitan, dan sebagainya. Kesemuanya ini adalah yang menimbulkan masalah. Kerana itu pertukaran yang diminta adalah untuk tujuan menyelesaikan atau mengurangkan sedikit masalah yang sedang ditanggungnya.
Malangnya ramai bilangan guru tidak dapat memperoleh apa yang dihajatnya. Malah pertukaran yang diberikan lebih menyusahkan pula. Pelbagai alasan diberikan, seperti keperluan sekolah-sekolah tertentu, subjek mengajar dan sebagainya. Logik juga.
Namun sesetengahnya pula atas pertimbangan lain. Misalnya jika guru cemerlang, maka mesti ditempatkan di sekolah yang cemerlang juga. Golongan inilah antara yang teraniaya tadi kerana kedudukan rumah dan sekolahnya agak jauh, lebih-lebih lagi jika mempunyai anak kecil yang masih memerlukan ibunya. Maka guru seperti ini terpaksa mengangkut anak kecilnya ke rumah asuhan dsb pada awal-awal pagi. Bayangkan betapa celarunya otak guru ini yang sentiasa memikirkan antara tugas dan anaknya, dan sebagainya.
Guru cemerlang mesti dihantar ke sekolah cemerlang adalah suatu yang tidak dapat diterima sepenuhnya. Paling kurang ini menidakkan pula sekolah-sekolah yang belum cemerlang atau sekolah baru yang baru dibangunkan. Sekolah ini seperti tidak dipandang langsung. Mengapa tidak ditempatkan guru cemerlang ini di sekolah berkenaan bagi membangunkan kecemerlangannya. Lainlah kalau seseorang guru itu memang memohon untuk ke sekolah tertentu. Dan macam-macam lagi.
Yang peling menyedihkan ada kuasa-kuasa ghaib di belakang pertukaran guru. Atas kuasanya, rasa irihati dan sebagainya, menyebabkan guru yang menjadi mangsa. Tidak cukupkah beban guru yang bekerja sekitar 17 jam seperti laporan-laporan dalam media, maka ditambah dengan bebanan yang tidak sepatutnya.
Tidak dinafikan memang ada pihak PPD yang mengambil kira masalah guru dalam proses pertukaran ini. Atas rasa kemanusiaan orang-orang di PPD itu maka melihat permasalahan guru sebagai prioritynya. Syabas kepada PPD yang begini. Wallahu-a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan